Apakah maksud dengan masyarakat?
Masyarakat ialah kumpulan manusia yang menetap bersama-sama di sesuatu tempat dengan mengikut peraturan dan cara tertentu dan terdiri daripada beberapa kaum atau bangsa. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati.
- Mengadakan rumah terbuka
- Mengadakan
gotong-royong di sekeliling kawasan perumahan
- Menyambut
hari keluarga
- Menyambut
hari kebangsaan
- Melangsungkan
aktivti sukan dan permainan
- Meraikan
sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama
Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.
Selain itu, amalan mengadakan
rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila
tiba hari-hari perayaan utama. Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan
kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka
tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain.
Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling
memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara
tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada
pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan
pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta". Semasa menghadiri
rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan
memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu
bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama.
Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan
juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan
yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan
pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan
adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh
sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw
dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang
negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja
dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak,
badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama
dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan
di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara.
Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej
negara di peringkat antarabangsa.
Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957
merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam
usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan
menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai
aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan
antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema
sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam
semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu
memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana
Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri
orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi
oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam
daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.
Peranan ibubapa untuk memupuk semangat perpaduan
Anak-anak digalakkan
berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga
disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran
atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada
anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia
yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik.
Selain itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan
anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan
bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka
dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya,
nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi
muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang
dengan sempurna.
Peranan pihak sekolah dan pelajar
Seterusnya, institusi-institusi
pendidikan (peranan pihak sekolah) perlu bertanggungjawab menerapkan
semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah
yang dapat diambil adalah dengan memberikan
kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah
membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek
sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di
sekolah.
Guru-guru juga
haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan
pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya
sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif
tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar,
misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya
kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar
dan guru-guru perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di
peringkat sekolah.
Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat
memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan
permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan
pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.
Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak
bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat.
Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti
tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih
menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat
Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri
mereka.
Peranan kerajaan
Wawasan 2020
merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada
peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan
menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian,
kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu
menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai
nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta
mampu bersaing.
Konsep 1Malaysia
telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1
Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan
rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan
mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan
rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.”
Sekolah wawasan
merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum. Sekolah
wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum
berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan,
dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali
dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan
sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya,
sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat
integrasi nasional.
Selain itu, pelaksanaan Program
Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat
serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja
pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan
bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul
mesra. Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk
Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan
kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan
keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting
dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.
Peranan media massa
Media massa
merupakan satu saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan
efisien. Media massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan
media elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang
mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih
moden.
Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat
serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat. Oleh itu, media
memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan antara kaum yang
menjadi semakin buruk ini. Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku
membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info
mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam
Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan
antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu sama lain
akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.
Di samping itu, media elektronik seperti televisyen, radio,
laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat menyebarkan
maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik memainkan peranan
dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat perpaduan di
kalangan masyarakat. Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam
kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi
menanam semangat perpaduan.
OBJEKTIF
- membina sebuah negara yang bersatu padu
- mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.
Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara
Kaum
Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kenyataan
di atas. Pertama sekali merupakan faktor sistem pendidikan yang berasingan.
Rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu
Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda yang berbeza dan sistem
persekolahan yang tersendiri. Ini sekaligus memisahkan pelajar mengikut bahasa
ibunda masing-masing. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Justeru, majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah
Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan
kaum yang berlainan sangat-sangat terhad.
Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan
dengan sepenuhnya. Tambahan pula, sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu
pada abad ke-19, selain bertujuan untuk mencari kekayaan, orang Cina tidak lupa
akan tanggungjawab sosial mereka iaitu mendidik kanak-kanak Cina agar mereka
mewarisi bahasa dan budaya etnik Cina.
Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi satu
agenda penting kepada mereka (Tan Yao Sua) Selain daripada itu, ibu bapa yang
tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke
sekolah jenis kebangsaan yang merasakan struktur pendidikan tersebut dapat
menjamin kecemerlangan akademik anak mereka juga menjauhi hubungan antara
etnik.
Faktor yang kedua ialah keadaan politik di negara kita.
Isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali
dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu. Teknik-teknik yang
digunakan oleh orang politik berkenaan isu sensitif tersebut akan memberikan
impak yang negatif kepada rakyat.
Setiap kaum akan cuba mempertahankan hak mereka bagi
mendapatkan satu keadaan yang sama rata. Sebagai contoh, parti-parti politik
tertentu cuba mengambil peluang untuk menimbulkan perasaan kurang senang hati
di kalangan masyarakat dan seterusnya menyebarkan propaganda berkenaan isu
perkauman.
Di samping itu, perbezaan nilai antara etnik juga
mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Setiap kaum mempunyai
budaya, kepercayaan dan bahasa yang berlainan. Justeru, setiap kaum akan
mengamalkan ciri-ciri yang kemudiannya menjadi identiti diri mereka.
Persoalannya apabila identiti mereka dipersoalkan, kesejahteraan dan keamanan
negara akan terancam.
Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi
mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara
kaum semakin membesar.
Anggota etnik akan memilih etnik yang sama dengan mereka
sebagai kawan mahupun rakan sekerja. Mereka mendapati sukar untuk
mengadaptasikan diri dan menerima budaya etnik yang lain dan menganggapnya
tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dalam kehidupan seharian.
Sebagai contohnya, sesetengah pensyarah di IPTA terpaksa
mengagihkan ahli kumpulan kerja kursus dengan memastikan setiap etnik terdapat
dalam sesebuah kumpulan itu.
Walaubagaimanapun, cara tersebut tidak memberikan kesan yang
diingini kerana masalah komunikasi dan ketidakselesaan wujud di kalangan etnik.
Masalah saling menyalahkan etnik-etnik tertentu akan wujud.
British telah menempatkan kaum-kaum tertentu kepada
sektor-sektor ekonomi yang berbeza semasa Tanah Melayu masih dijajah. Misalnya,
kaum Melayu telah ditempatkan di sektor pertanian yang berada di luar bandar.
Sektor tersebut memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah.
Bagi kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan atau
perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi. Manakala kaum India pula terlibat
dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Agihan tersebut
mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.
Kaum Melayu dan India akan berhadapan dengan kemiskinan
manakala kaum Cina akan terus mencari peluang-peluang perniagaan bagi
mengukuhkan kemewahan mereka.
Perasaan tidak puas hati di antara etnik akan wujud.
Justeru, ini akan menyebabkan etnik-etnik berusaha untuk mempertahankan hak-hak
mereka serta kesaksamaan. Proses mempertahankan hak tersebut akan merosakkan
hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan perjuangan mereka.
Kesan-Kesan Akibat Ketidakharmonian Antara Kaum
Hubungan ketidakharmonian antara kaum akan mengakibatkan
negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan mendorong
kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum. Keadaan yang tidak stabil
ini akan membimbangkan para pelabur.
Sekiranya, sesebuah negara mengalami suasana huru-hara,
pelabur asing akan terasa bimbang terhadap modal yang dilaburkan juga tentang
keselamatan perniagaan mereka di negara ini.
Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan
kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga
barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal
daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara.
Malahan, taraf hidup penduduk akan menjadi rendah akibat
ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang sedemikian, perpaduan di kalangan
rakyat menjadi salah satu faktor penting dalam penjanaan ekonomi negara.
- Mengancam Keselamatan Negara
Pertahanan bagi sesebuah negara juga banyak bergantung
kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang antara rakyat akibat
daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara.
Hal ini demikian kerana hubungan yang harmonis di kalangan
rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan sebuah tembok pertahanan yang
kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah negara.
Negara yang kacau bilau bukan sahaja terdedah kepada ancaman
dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat ini sebagai peluang untuk
campur tangan sekaligus membuka peluang untuk menguasai negara tersebut sama
ada secara halus atau pun terang-terangan.
- Menjejaskan Imej Negara
Bagi sebuah negara yang tidak aman, ia akan menjadi tajuk
perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas dan keadaan ini menjadi
buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk mengadakan kerjasama dengan
negara-negara maju yang lain.
Negara akan menjadi mundur sementara negara-negara yang
tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai kejayaan secara berterusan. Tanpa
keamanan, negara tersebut sukar untuk melakukan sesuatu yang dapat membanggakan
mahupun menarik perhatian negara lain.
Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmonis wujud
antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat global. Dengan ini,
sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh negara lain malah akan
menjadi model dan rujukan kepada negara lain.
Hubungan antara negara akan berjaya dianjurkan dan pelbagai
peluang kerjasama akan wujud lalu membawa keuntungan ekonomi, sosial mahupun
politik.
KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM
Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun
telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris,
Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi
lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan
memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan
negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk
menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang
kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh
J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan
menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah
barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib
Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita
bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak
kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.
Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan
perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu,
perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada
semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab
menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang
terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand,
Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya
perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak
sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun
Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu,
mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh
itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam
membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak
yang masih berada di bangku sekolah.
Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik
pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk
yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk
mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih
selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut
tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat
negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan
berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri
Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan
oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus
mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah
penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat
berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan
bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan
pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa
Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah
perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat
menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.
Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan
golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan
penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam
dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang
berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha
untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini
harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum.
Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini
demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan
menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas
Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat.
Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara
kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan
India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep
perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini
seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan
sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang
dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan
nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.
Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan
negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan
yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat
yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah
memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi,
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’
Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang
bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara
melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa
dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam
aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi
persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana
masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi
konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk
memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan
memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan
dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan
Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam
sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis
serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama
manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya
menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama
baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan
dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama
insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan
perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan
generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang
dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat
perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.
Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan
imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang
permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat
negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan
berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat
perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan
negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara
maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara
yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan
tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan
memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk
membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya
terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya
berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat
bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan
kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan
yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.
Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat
direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita
dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan
perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh,
terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada
masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang
bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah
s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani
masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa
malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat
sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara
satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih
gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di
negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara
impian.
Rujukan
http://stpm-study.blogspot.my/2014/07/perpaduan-kaum-di-malaysia.html
https://www.youtube.com/watch?v=hwAOsnMqbcY
http://stpm-study.blogspot.my/2013/09/esei-11-usaha-usaha-untuk-memupuk.html
https://www.youtube.com/watch?v=VCXmpO-jfIo&list=RD9WIEsT__kn0&index=2
Kesimpulan
Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting
dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat
adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin
kestabilan ekonomi dan politik negara.
Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan
kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang
dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati
lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati,
penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan
yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan
itu, negara kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa
mengira agama dan bangsa.
Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati
antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan
ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri
dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin
dahulu.
AHLI KUMPULAN
Kami dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah |
No comments:
Post a Comment