Thursday, 11 February 2016



Apakah maksud dengan masyarakat?

Masyarakat ialah kumpulan manusia yang menetap bersama-sama di sesuatu tempat dengan mengikut peraturan dan cara tertentu dan terdiri daripada beberapa kaum atau bangsa. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina, India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai malah saling menghormati.



Usaha­- usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat:



  1. Mengadakan rumah terbuka
  2. Mengadakan gotong-royong di sekeliling  kawasan perumahan
  3. Menyambut hari keluarga 
  4. Menyambut hari kebangsaan 
  5. Melangsungkan aktivti sukan dan permainan
  6. Meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama


Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.




  



Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

       


Selain itu, amalan mengadakan rumah terbuka menjadi perkara biasa dalam kalangan rakyat Malaysia apabila tiba hari-hari perayaan utama. Amalan rumah terbuka akan mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita. Semasa menghadiri rumah terbuka tersebut para tetamu yang hadir akan beramah mesra dengan tetamu yang lain. Jadi, sudah tentu perkara ini akan membolehkan mereka berbual mesra dan saling memahami antara satu sama lain. Oleh itu, di samping menjamu selera, secara tidak langsung perpaduan dan persefahaman antara tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ini akan dapat dimantapkan. Hal ini bersesuaian dengan pepatah Melayu, iaitu "Tak kenal maka tak cinta". Semasa menghadiri rumah terbuka juga, para tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum akan memahami budaya dan adat resam kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama, walaupun mereka berbeza latar belakang budaya dan agama.





Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.


 Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.


                                                                                 



Peranan ibubapa untuk memupuk semangat perpaduan



Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik.


Selain itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna.


Peranan pihak sekolah dan pelajar


Seterusnya, institusi-institusi pendidikan (peranan pihak sekolah) perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah.

Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah.

Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar  dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.

Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka.




Peranan kerajaan


Wawasan 2020 merupakan usaha kerajaan untuk mengembangkan ekonomi, sosial dan politik pada peringkat nasional dan antarabangsa serta menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan meliputi aspek-aspek politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Menjelang tahun 2020, Malaysia diharapkan mampu menjadi sebuah negara yang bersatu padu di mana masyarakat Malaysia mempunyai nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.

Konsep 1Malaysia telah diperkenalkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada 3 April 2009. Konsep 1 Malaysia ini memberi aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Sekolah wawasan merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum. Sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah. Mereka berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain. Tegasnya, sekolah wawasan mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional.

Selain itu, pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga mampu mewujudkan keharmonian rakyat serta negara. PLKN dapat memupuk perpaduan nasional. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung. Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra. Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk Malaysia secara mendalam. Persefahaman yang lebih erat akan memupuk perasaan kekitaan. Selain daripada kerajaan yang bertanggungjawab mengekalkan keharmonian negara, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan penting dalam menjamin keharmonian negara berkekalan.


Peranan media massa



Media massa merupakan satu saluran yang dapat menyampaikan mesej kepada orang ramai dengan efisien. Media massa boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu media cetak dan media elektronik. Menurut L. John Martin, media massa merujuk kepada alat yang mewujudkan interaksi sosial, politik, dan ekonomi dalam ukuran yang lebih moden.

Media dapat menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat serta menjadi medium perantaraan dalam sesuatu masyarakat. Oleh itu, media memainkan peranan yang amat penting bagi memperbaiki hubungan antara kaum yang menjadi semakin buruk ini. Media cetak seperti surat khabar, majalah dan buku membantu menyedarkan maklumat kepada masyarakat. Dengan memaparkan info mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama kaum yang terdapat di dalam Negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Justeru, rasa hormat-menghormati antara satu sama lain akan ditimbulkan dalam hati setiap individu.

Di samping itu, media elektronik seperti televisyen, radio, laman web dan lain-lain juga merupakan satu peralatan yang dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai dengan mudah. Media elektronik memainkan peranan dengan menayangkan iklan-iklan yang boleh memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat. Peranan ini membolehkan orang ramai melibatkan diri dalam kempen berkenaan dan seterusnya dapat merealisasikan hasrat kerajaan bagi menanam semangat perpaduan.



OBJEKTIF

  •  membina sebuah negara yang bersatu padu
  •  mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih adil, maju, aman dan makmur berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan dan rukun negara.




Faktor-Faktor Berlakunya Ketidakharmonian Hubungan Antara Kaum

Terdapat faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kenyataan di atas. Pertama sekali merupakan faktor sistem pendidikan yang berasingan.

Rakyat Malaysia terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda yang berbeza dan sistem persekolahan yang tersendiri. Ini sekaligus memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Justeru, majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang berlainan sangat-sangat terhad.

Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan dengan sepenuhnya. Tambahan pula, sejak kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu pada abad ke-19, selain bertujuan untuk mencari kekayaan, orang Cina tidak lupa akan tanggungjawab sosial mereka iaitu mendidik kanak-kanak Cina agar mereka mewarisi bahasa dan budaya etnik Cina.

Justeru, penubuhan sekolah vernakular Cina menjadi satu agenda penting kepada mereka (Tan Yao Sua) Selain daripada itu, ibu bapa yang tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan yang merasakan struktur pendidikan tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka juga menjauhi hubungan antara etnik.

Faktor yang kedua ialah keadaan politik di negara kita. Isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali dijadikan isu oleh orang politik bagi tujuan tertentu. Teknik-teknik yang digunakan oleh orang politik berkenaan isu sensitif tersebut akan memberikan impak yang negatif kepada rakyat.

Setiap kaum akan cuba mempertahankan hak mereka bagi mendapatkan satu keadaan yang sama rata. Sebagai contoh, parti-parti politik tertentu cuba mengambil peluang untuk menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat dan seterusnya menyebarkan propaganda berkenaan isu perkauman.

Di samping itu, perbezaan nilai antara etnik juga mengakibatkan hubungan antara kaum bertambah rumit. Setiap kaum mempunyai budaya, kepercayaan dan bahasa yang berlainan. Justeru, setiap kaum akan mengamalkan ciri-ciri yang kemudiannya menjadi identiti diri mereka. Persoalannya apabila identiti mereka dipersoalkan, kesejahteraan dan keamanan negara akan terancam.

Oleh itu, setiap etnik cuba mengambil keputusan bagi mengurangkan interaksi antara satu sama lain. Impaknya jurang hubungan antara kaum semakin membesar.

Anggota etnik akan memilih etnik yang sama dengan mereka sebagai kawan mahupun rakan sekerja. Mereka mendapati sukar untuk mengadaptasikan diri dan menerima budaya etnik yang lain dan menganggapnya tidak akan memberi apa-apa faedah kepada mereka dalam kehidupan seharian.

Sebagai contohnya, sesetengah pensyarah di IPTA terpaksa mengagihkan ahli kumpulan kerja kursus dengan memastikan setiap etnik terdapat dalam sesebuah kumpulan itu.

Walaubagaimanapun, cara tersebut tidak memberikan kesan yang diingini kerana masalah komunikasi dan ketidakselesaan wujud di kalangan etnik. Masalah saling menyalahkan etnik-etnik tertentu akan wujud.

British telah menempatkan kaum-kaum tertentu kepada sektor-sektor ekonomi yang berbeza semasa Tanah Melayu masih dijajah. Misalnya, kaum Melayu telah ditempatkan di sektor pertanian yang berada di luar bandar. Sektor tersebut memerlukan sumber tenaga fizikal dan berteknologi rendah.

Bagi kaum Cina pula ditempatkan di sektor perdagangan atau perniagaan yang melibatkan teknologi tinggi. Manakala kaum India pula terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Agihan tersebut mengakibatkan jurang pendapatan antara kaum semakin ketara dan tidak seimbang.

Kaum Melayu dan India akan berhadapan dengan kemiskinan manakala kaum Cina akan terus mencari peluang-peluang perniagaan bagi mengukuhkan kemewahan mereka.



Perasaan tidak puas hati di antara etnik akan wujud. Justeru, ini akan menyebabkan etnik-etnik berusaha untuk mempertahankan hak-hak mereka serta kesaksamaan. Proses mempertahankan hak tersebut akan merosakkan hubungan kaum kerana masing-masing mahu menjuarai perjuangan perjuangan mereka.

Kesan-Kesan Akibat Ketidakharmonian Antara Kaum


Hubungan ketidakharmonian antara kaum akan mengakibatkan negara kita berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Hal ini akan mendorong kepada pergaduhan atau pertelingkahan antara kaum. Keadaan yang tidak stabil ini akan membimbangkan para pelabur.

Sekiranya, sesebuah negara mengalami suasana huru-hara, pelabur asing akan terasa bimbang terhadap modal yang dilaburkan juga tentang keselamatan perniagaan mereka di negara ini.

Kemerosotan ekonomi akan melambatkan proses perkembangan dan kemajuan negara kerana kehidupan rakyat yang derita akibat kenaikan harga barang secara mendatar dan kemunduran teknologi kerana tiada sumbangan modal daripada para pelabur di dalam mahupun dari luar negara.

Malahan, taraf hidup penduduk akan menjadi rendah akibat ketiadaan peluang pekerjaan. Oleh hal yang sedemikian, perpaduan di kalangan rakyat menjadi salah satu faktor penting dalam penjanaan ekonomi negara.


  •    Mengancam Keselamatan Negara


Pertahanan bagi sesebuah negara juga banyak bergantung kepada rakyatnya. Secara langsungnya, hubungan tegang antara rakyat akibat daripada perselisihan sememangnya mampu menggugat keselamatan negara.

Hal ini demikian kerana hubungan yang harmonis di kalangan rakyat secara tidak langsungnya akan mewujudkan sebuah tembok pertahanan yang kukuh dan dapat menjamin keselamatan sesebuah negara.

Negara yang kacau bilau bukan sahaja terdedah kepada ancaman dari dalaman tetapi juga dari luar yang melihat ini sebagai peluang untuk campur tangan sekaligus membuka peluang untuk menguasai negara tersebut sama ada secara halus atau pun terang-terangan.

  •         Menjejaskan Imej Negara


Bagi sebuah negara yang tidak aman, ia akan menjadi tajuk perbualan di peringkat global. Imej negara terjejas dan keadaan ini menjadi buruk apabila kita akan ditolak sama sekali untuk mengadakan kerjasama dengan negara-negara maju yang lain.

Negara akan menjadi mundur sementara negara-negara yang tidak mengalami pergolakan kaum akan mencapai kejayaan secara berterusan. Tanpa keamanan, negara tersebut sukar untuk melakukan sesuatu yang dapat membanggakan mahupun menarik perhatian negara lain.

Sebaliknya, jika perpaduan dan hubungan harmonis wujud antara rakyat, ia adalah simbol kejayaan di peringkat global. Dengan ini, sesebuah negara tersebut bukan sahaja akan disegani oleh negara lain malah akan menjadi model dan rujukan kepada negara lain.

Hubungan antara negara akan berjaya dianjurkan dan pelbagai peluang kerjasama akan wujud lalu membawa keuntungan ekonomi, sosial mahupun politik.


KEPENTINGAN MEMUPUK PERPADUAN KAUM 


Malaysia sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit. Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Semangat nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini, rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu, mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih berada di bangku sekolah.

Selain itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat. Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.

Seterusnya, sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar tidak berlaku permusuhan.

Dasawarsa ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa ‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kurikulum yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan. Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia. Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.

Sehubungan dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh, pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut? Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.

Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah. Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut gamitan negara impian.







Rujukan


http://stpm-study.blogspot.my/2014/07/perpaduan-kaum-di-malaysia.html

https://www.youtube.com/watch?v=hwAOsnMqbcY

http://stpm-study.blogspot.my/2013/09/esei-11-usaha-usaha-untuk-memupuk.html

https://www.youtube.com/watch?v=VCXmpO-jfIo&list=RD9WIEsT__kn0&index=2





Kesimpulan


Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara.

Hubungan kaum yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan, negara memerlukan rakyat yang dedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Justeru, masyarakat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Malaysia pada masa sekarang berada dalam proses pembangunan yang akan menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan global yang besar. Dengan itu, negara kita amat memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum yang diterjemahkan secara berlebihan hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara kita sendiri dan membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin dahulu.







AHLI KUMPULAN









 Kami dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah

DAT2B